[DIKEMASKINI] KRI Nanggala 402 ditemui terbelah tiga
JAKARTA - [DIKEMASKINI] Kesemua 53 kru kapal selam Indonesia, KRI Nanggala 402 yang dilaporkan hilang dan tenggelam di perairan Bali pada Rabu lalu disahkan meninggal dunia.
Perkara itu diumumkan oleh Ketua Angkatan Tentera Laut Nasional Indonesia, Yudo Margono pada Ahad.
Sebelum ini, pihak berkuasa memaklumkan mereka menerima isyarat dari lokasi sedalam lebih 800 meter (m) pada awal pagi Ahad dipercayai kedudukan KRI Nanggala 402 tenggelam.
Bangkai KRI Nanggala 402 disahkan selepas pasukan penyelamat menggunakan kenderaan kawalan jauh tanpa pemandu bawah air (ROV) yang dibekalkan Singapura untuk meninjau lokasi dasar laut berkenaan.
Pihak berkuasa berkata, lebih banyak bahagian daripada kapal selam ditemui termasuk sauh dan pakaian keselamatan yang dipakai kru.
"Terdapat beberapa bahagian KRI Nanggala 402. Ia terbelah kepada tiga bahagian," kata Yudo.
Terdahulu, Panglima Angkatan Tentera Nasioanl Indonesia (TNI), Hadi Tjahjanto turut mengesahkan kematian tragis kru KRI Nanggala 402.
"Berdasarkan bukti-bukti kukuh (penemuan barangan dari KRI Nanggala 402) tersebut, dapat dinyatakan bahawa KRI Nanggala-402 telah tenggelam dan seluruh anak kapalnya telah gugur," katanya.
Dalam pada itu, Majlis Ulama Indonesia (MUI) menyarankan umat Islam menunaikan solat jenazah ghaib buat 53 kru kapal selam KRI Nanggala 402 terbabit.
“Semoga dosa mereka diampuni serta pengorbanan mereka kepada bangsa dan negara menjadi ibadah dan mendapat ganjaran pahala dari-Nya,” kata Ketua MUI, Anwar Abbas dalam satu kenyataan.
Pada Sabtu, peluang untuk menemui kru KRI Nanggala 402 hidup-hidup tipis selepas Yudi mengumumkan status KRI Nanggala 402 daripada hilang kontak (submiss) kepada tenggelam (subsunk).
Pertukaran status itu dibuat susulan penemuan beberapa objek dipercayai milik KRI Nanggala 402 selepas lebih 72 jam operasi menjejaki kapal selam itu dilancarkan.
Sebelum ini, kesemua kru kapal selam tersebut mempunyai ‘talian hayat’ selama 72 jam sehingga jam 3 pagi (waktu tempatan) pada Sabtu lalu sebelum kehabisan bekalan oksigen. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!